MAK YONG: TRADISI YANG POPULER

OLEH: ALMUKHLIS
Pegiat Seni Tradisi

Kesenian  tradisi  Makyong  merupakan  kesenian  yang  tidak mati, tidak kaku, dan bahkan tidak akan hilang  dimakan  zaman. Ianya satu bentuk kesenian yang amat populer yang  hidup pada  mana-mana  negeri  yang  pernah di jejakinya. Kesenian tradisi Makyong akan  terus  memainkan perannya dalam kehidupan ini sampai akhir zaman, hingga disudahkannya kehidupan  ini oleh Sang Pencipta. Maka selesailah segalanya.

Namun, segala sesuatu  yang  hidup ini pun serupa batang tubuh, yang  tiadakan hidup jika manusia  tiada  memberinya ruh. Bagai  pepohon  rindang  yang  tidak  akan  bergoyang  jika tiada angin yang datang. Menyapa  dedaun  hijau  sampai  melambai  keriangan. Lalu manusia  juga  yang  melihatnya  dan  berkata  ‘tersebab angin daun  pepohonan itu bergoyang’ Begitulah muasal cerita adanya.

Puncak  ketakutan  yang dibuat-buat Mat Saleh dari penjuru negeri seberang, hanyalah  akal-akalan  mereka  untuk  mendapatkan kekayaan tradisi di negeri kita ini. Konon, mereka  datang  dengan berjubah  kedermawanan  dalam  lapisan  baju empati  kepada kita. Dengan  niat  ingin  membantu  mengangkat  kembali  batang terendamlah, bantu biaya ini-itulah, bantu  mendokumentasikanlah supaya kesenian  tradisi Makyong tetap hiduplah, dan  banyak  lagi  alasan  agar  mereka  mendapatkan data-data penting yang memang itu untuk kepentingan  pribadi  mereka mendapat gelar-gelaran akademiknya. 

“Kami ni bukan pengemis, Wang. Tapi kenapa Mat Saleh yang datang  ke  negeri kita ini selalu  menjadikan  kita  ‘kain buruk’ . Dia bayar  kami. Minta  kami  main  Makyong. Habis tu  dia  letak  segala senjatanya untuk  merekam segala gerak lakon, tarian, dan nyanyian dengan  seksama. Habistu  ketika  dia  sudah  dapat  semua, nama dia pulak sebagai pencipta. Eh, dia pulak  yang  punya  segalanya. Kami dibuang dilupakan. Pandai Mat Saleh tu, Wang. Orang  makan bangku sekolah katanya. Pandai betul dia berhujjah pada  kepala-kepala yang duduk  di negeri kita ini, cakap dengan pelat sengaunya itu sampai mendapat tempat yang spesial. Habistu  pepandai  pulak dia ambil kesimpulan bahwa  kesenian tradisi  Makyong di negeri kita ini di ambang kepunahan. Mesti segera dibangkitkan kembali. Perlu direvitalisasi  kembali. Meranyah semua tu, Wang.

Boleh dikata kalau  kami ni rumput setu di laut, dah  belumut  geliat  seni tradisi Makyong ni kami jaga. Cuma itulah, agaknya  kepala-kepala  di negeri kita ini lebih percaya dengan cakap Mat Saleh tu. Orang punya uanglah  pulak. Kami  ni hanya sebatas seniman-seniman yang betul  ikhlas wal tunak wal miskin yang hanya pandai menjaga tradisi Nenek Moyang. Namun macam biasalah. Masih juga tak dianggap adanya di negeri bertuah ini. Nanti mereka dah  telajak  sangat, barulah  keris di pinggang  boleh melayang bertamu ke rumahnya. Barulah  sadar akan pentingnya memanusiakan  kami!”

“Eeh … apa pasal aku merepet meraban sorang ni?”

“Ha begitulah, Wang. Aku nak pegi ke kampung seberang ajelah hari ni. Kalau-kalau ada pelandok napohkan sedap juga. Assalamualaikum.”

Orang tua yang baru  saja Awang temui di selisih perjalanan menuju teratak tempat tinggalnya itu sungguh membuat kening Awang berkerut seribu. Bagaimana tak berkerut Awang dibuatnya, saudara bukan, tetangga bukan, kawan bukan, apatah lagi sahabat. Tapi, orang tua itu bercerita seolah dialah pelaku/pegiat seni tradisi Makyong di negeri ini. Tiada pula nampak bertopeng Mak Yong. Tiada juga bergaya sebagai seniman. Melainkan orang yang Awang temui itu wujudnya macam orang susah yang hari-hari memegang cangkul menuju kebun tempat bercocok tanam saja. Tapi, ada sedikit terlintas raut wajah yang pernah Awang kenali semasa lima atau tujuh tahun lalu. Hmm. Entahlah!

Tampak semacam kemuncak benar kemarahan pegiat seni tradisi Makyong yang Awang temui hari itu. Hmm. Tiada  munkin  kayu  jadi  arang  kalau api tidak menjulat melahap tubuh kayu  itu, kan?  Terlepas siapa dia dan apa profesi hidupnya, Awang tak ambil kisah. Tapi, perihal ini mesti ada sebab-musabab yang panjang. Kalau tak ada, tak mungkin orang ini panjang bercerita.

Hal sebenar, banyak jugalah terdengar di telinga Awang ini perihal masalah yang direpetkan  orang tua gagut tadi itu. Semacam permasalahan  klasik  yang dari jaman nun sampai sekarang belum juga bisa diselesaikan. Padahal kurang apa hebatnya pegiat seni Tradisi di Negeri Bertuah  kita  ini  kan. Patutlah  kalau  mereka  banyak  bantut. Merajuk, lari ke negeri lain sebab selalunya di kecewakan.

Tersebab sudah  sering  mendengar kabar yang sama ini, tetiba suatu hari terusik benar hati Awang ini untuk menelusuri asbab semua masalah. Biar orang berkata ‘Hai siapalah mu ya Awang nak mengambil berat perihal nasib seniman-seniman pegiat seni tradisi di negeri bertuah ini?’ Sempat terpikir demikian. Tapi, Awang tahu itu rupa hujjah setan yang tak ingin kesenian tradisi Makyong berkembang di tanah ini. Awang buang segala pikir buruk itu. Awang di negeri ini adalah orang yang mencintai semua bentuk kesenian tradisi. Awang mesti berbuat.

Tanpa  berpikir  panjang, merejuklah Awang dari teratak, tak peduli lagi dengan mata yang  masih rapat setelah lama tanggam-menanggam, rapat-merapat- kira kerja tidur berharianlah kalau bahasa kampungnya. Pikir langsung tertuju ke ledang balai. Mungkin segala jawaban dari keresahan pengiat seni tradisi Makyong yang telah lama menghitam hati itu bisa diselesaikan di Ledang Balai Tuan Habieb yang amat terkenal geliat Makyongnya. Melongso dan berlarilah Awang sekencang-kencangnya sehingga sampai di Ledang Balai Cek Wang  yang duduk di Kota Tanjungpinang.

Setibanya di Ledang Balai Tuan Habieb, tampak begitu ramai orang berkumpul di hadapan Cek Wang. Semacam ada musyawarah besar di Ledang Balai. Melihat hal tersebut, segan pula Awang  nak masuk menghadap Cek Wang. Lama Awang menunggu di Balai Peranginan luar. Baru nak masuk melamun panjang–karena lama sangat menunggu musyawarah selesai, datang Inang Pengasuh mengejutkan dari belakang.

“Ha! Oh yalah Awangmu Awang. Hajat mana berita mana Awang datang kemari Awang. Cukup sekian tahun Inang tiada melihat wajahmu. Rindu Awang Rindu. Rasa nak peluk tak pakai lepas sampai lemas ya Awang,” sambut Inang Pengasuh.

“Aku ingin bertemu Cek Wanglah,” tegas Awang Pengasuh.

“Awe kasar benar Awang ni berbahasa. Kita bergurau sedikit saja pun tak boleh.”

“Tak boleh. Awang kena cepat menghadap Cek Wang. Ini jam juga.”

“Kalau nak menghadap masuklah. Kenapa duduk di depan pintu?”

“Awang segan. Ledang Balai ni ramai sangat.”

“Habis tu? Awang nak tunggu berapa lama lagi di depan pintu istana ni?”

“Inang, apa hajat semua orang-orang istana berkumpul menghadap Cek Wang tu Inang?”

“Entah! Kalau nak ambil tahu, masuk sajalah. Sekejap Inang kabarkan kedatanganmu pada Cek Wang. Awang tunggu sini ya. Jangan merayau pulak. Susah Inang cari nanti.”

Seketika melentinglah Inang Pengasuh berlari menuju Ledang Balai membawa pesan dari Awang Pengasuh. Setibanya dihadapan Cek Wang, Inang masuk menghadap.

“Inang datang menghadap Cek Wang,” kata Inang Pengasuh.

“Oyalahmu Inang. Hajat mana berita mana Inang datang menghadap?”

“Begini, Cek Wang. Di luar istana ada Awang Pengasuh. Dia segan hendak masuk ke Ledang Balai Cek Wang sebab melihat ramainya orang-orang istana yang berkumpul. Dia hanya meminta Inang memberitahukan hal ini kepada Cek Wang.”

“Oh begitu kata. Baeklah Inang. Sekarang Inang panggil Awang. Suruh Awang masuk menghadap saya segera.”

Maka berlalulah Inang Pengasuh memberi kabar kepada Awang. Ketika Awang sudah di beritahu Inang akan Cek Wang memintanya masuk menghadap, Awang segera masuk menghadap kepada Cek Wang. Setelah masuk ke Ledang Balai mengatur sembah, lalu berkabar serta akan tujuannya datang. Ketika menoleh ke samping kiri Cek Wang, terkejut Awang melihat ada orang tua yang pernah mengomel perihal masalah Mak Yong tempo hari hadir juga bermusyawarah sama.

“Aiii … Tuan ini kan yang saya jumpa tempo hari. Kenapa tuan bisa ikut sama bermusyawarah di Istanan Ledang Balai Tuan Habieb ni?” kata Awang Pengasuh.

Melihat ekspresi terkejutnya Awang itu, tertawalah semua orang-orang istana. Begitu juga Cek Wang. Sebab, mereka tertawa karena Awang tertipu lagi oleh sosok wajah orang tua yang duduk sedikit bersebelahan dengan Cek Wang itu. Maka bertitahlah Cek Wang kepada orang tua tersebut untuk berubah ke wujudnya semula agar Awang dapat tahu sama siapa gerangan dibalik wajah tersebut.

“Wak. Kembali dan tampakkan wujud aslimu pada Awang Pengasuh,” ujar Cek Wang.

Seketika berubahlah orang tua itu kepada wajah aslinya. Orang yang amat terkenal kesaktiannya di seluruh negeri ini. Dialah Wak Prambun. Terperangah Awang menyaksikan wujud asli orang tua tadi adalah Wak Prambun. Orang sakti yang juga merupakan sahabat baiknya.

“Muu…. Awang kira siapa tadi Mu. Mu memang tak berubah Mu. Sudah terhitung beratus kali Mu berubah wujud dan Ku tidak mengenal Mu,” ungkap Awang Pengasuh.

Wak Prambun hanya tersenyum menghadap Cek Wang. Maka bercerita panjanglah mereka perihal kesenian Makyong yang amat populer itu. Sampai bersorak seluruh isi Istana Ledang Balai Tuan Habieb mendengar kabar gembira dari Cek Wang, yang datang dari seluruh negeri bertuah ini. Bahwa “Mak Yong Muda Ledang Balai Tuan Habieb telah berhasil memukau seluruh masyarakat di negeri ini dalam mementaskan cerita WAK PRAMBUN pada gawai akbar Pentas Seni APEKSI 2019 di Gedung Daerah dan pada PAGELARAN SENI TRADISI PESISIR di Desa Malang Rapat-Kabupaten Bintan dalam jamuan Dinas Kebudayaan Provinsi Kepulauan Riau. Maka ditabuhlah Gong tiga kali pertanda pesta dimulakan.***

Hak Cipta Terpelihara. Silakan Bagikan melalui tautan artikel

Scroll to Top