TANJUNGPINANG NEGERI MAK YONG MUDA

(Cerita Awang Pengasuh)

Oleh : Al Mukhlis
Pegiat Seni Tradisi

Syahdan, disinilah tempat Awang berkabar bilang perihal suatu negeri. Sebelum kiranya cerita ini Awang mulakan, Awang mesti bersenang angin bersenang ombak di teratak Awang terlebih dahulu. Tempat duduk diamnya Awang berpikir tenang. Tempat merenung mencari ilham akan perkara dalam tulisan. Memang, walau teratak Awang ni rebai sana rebai sini, pelantar kayu jongkat- jongket, tiadalah buruk di mata, melainkan surga bagi Awang.

Baiklah, disini Awang mulakan dengan seni kata pantun sebagai permulaan:

Seni Tradisi panjang umurnya
Tiada pincang tiada tenggelam
Makyong Muda itulah kisahnya
Di Tanjungpinang tempat semayam

Hatta, cerita ini Awang beri tajuk “Tanjungpinang Negeri Makyong Muda”.Bermula kabar tersiar di kota Gurindam Negeri Pantun, dimana disinilah Negerinya Mak Yong Muda bersemayam. Kabar hal ihwal akan di adakannya Acara FESTIVAL MAK YONG 2019 di hotel Sunrice City/hotel Bali itu, sampailah di telinga penghuni negeri amat bertuah ini. Tegak kepala Wak Penghulu Pekan sahabat baik Awang itu. Terperangah melihat berita di Instagramnya. Wak yang asik main gawai selesai berkebun di kediamannya langsung melenting berdiri, Wak berdecak kagum melihat ada berita negerinya sedang kedatangan tamu dari penjuru negeri Mak Yong lainnya. Tanpa berpikir panjang Wak Penghulu Pekan langsung menelpon sahabat baiknya Awang Pengasuh. Wak berkabar bilang pada Awang pengasuh dan meminta diajak ngopi di tempat biasa. Hmm, inilah tebiat Wak, sudah dia yang perlu, dia pula yang minta di ajak ngopi.

Ketika Wak sudah berjumpa dengan Awang pengasuh di kedai kopi Jalan Merdeka, Wak langsung menunjukkan informasi yang baru ia dapatkan di Instagramnya;

WAK PENGHULU PEKAN : Oyalah Awang. Ku dah lama tidak melihat batang hidungmu ya Awang. Kenapa berjerawat ya Awang?

AWANG PENGASUH: Oyalah Wak. Cantik pulak bahasa Wak jumpa Awang ni. Kata nak bekabar bilang perihal mustahak, inikan kita pulak di katanya. Wak nak Awang balek atau tunak disini Wak?

WAK PENGHULU PEKAN: Aii Wang! Takkanlah nak marah pepagi buta ni ya Awang. Wak ni bukan mengata, gurau sedikit pun tak boleh.

AWANG PENGASUH: Awang tengah banyak masalah ni Wak. Jangan pancing Awang wak.

WAK PENGHULU PEKAN : Masalah apa ni Wang? Masalah apa?

AWANG PENGASUH: Ayam awang hilang raib entah kemana Wak. Petang semalam masih terdengarlah riuh kokoknya Wak, lah subuh ni tadi senyap Wak, apa tak risau hati Awang ni Wak. Dialah satu-satunya kawan Awang bermain kejar-kejaran ya Wak. Sedih benar hati ini ya Wak.

WAK PENGHULU PEKAN : Hmm…Wang. Kalau Wak tengok, ayam tu ada Wang. Dia hanya lupa arah balik kandangnya Wang. Tengoklah petang nanti Wang. Balik Wak rasa.

AWANG PENGASUH: Hailah kalau Wak lah cakap begini, barulah tenang hati Awang. Wak ni memang ahlinya ahli ya Wak. Ha, berkabarlah Wak!

WAK PENGHULU PEKAN : Cuba tengok Instagram Wak ni Wang. Bukan main melenting Wak terkejut melihat pengkabaran itu ya Wang. Balai yang amat tunak dalam mengkaji dan menjaga budaya tradisi di negeri kita ini menaja acara besar FESTIVAL MAK YONG 2019 ya Wang. Kalau Wak tak datang berkabar bilang, mana boleh Awang tahu sama ku. Awang kan tak punya Gawai canggih macam Wak ni. Ha, macam mana menurut Awang dengan pengkabaran dari Wak ni?

AWANG PENGASUH: Amboii… Ini memang mustahak ni Wak. Nampaknya berita kedatangan mereka ini belum diketahui oleh Cek Wang Wak. Awang mesti berjumpa dengan Cek Wang Wak, mustahak benar ni Wak.

WAK PENGHULU PEKAN: Oyalah Wang, sekejap Wak habiskan kopi ni dulu ya Wang. Sayang pulak kalau tak dihabiskan. Nanti dikata mubazir dan tak menghargai rejekimu ya Wang.

AWANG PENGASUH: Pandai betul Wak ni berkelah ya Wak. Ha deraslah Wak. Awang nak berkabar bilang dengan Cek Wang di Ledang balai.

WAK PENGHULU PEKAN: Bila jam Wang?

AWANG PENGASUH: Ini jam juga Wak. Lekaslah!

Setibanya di Ledang Balai Cek Wang, Awang dan Wak Penghulu Pekan menyusun sembah menghadap.

AWANG PENGASUH: Awang datang menghadap Cek Wang.

WAK PENGHULU PEKAN : Wak pun datang sama Cek Wang.

Dengan tidak mengabaikan kedatangan tamu pentingnya itu, Cek Wang melempar senyum manis seolah sudah tahu apa yang ingin dikabarkan.

CEK WANG: Oyahlah Awang, oyalah Wak, hajat mana berita mana Awang dan Wak datang menghadap di Ledang Balai sepagi ini?

AWANG PENGASUH: Oyalah Cek Wang. Awang minta ampun sekiranya menggangu sepagi ini Cek Wang. Tapi, ada hal mustahak yang membawa Awang datang kemari Cek Wang.

CEK WANG: Berkabarlah lah Wang…Berkabarlah.

AWANG PENGASUH: Cek Wang. Perihal mustahak ini bermula dikabarkan oleh Wak Penghulu Pekan. Wak telpon Awang minta berjumpa di kedai kopi semasa tadi. Wak tunjuklah Wak punya Instagram Cek Wang. Tiadakah Cek Wang sudah tahu perihal ini Cek Wang?

CEK WANG: Teruskan pengkabaranmu itu ya Wang. Saya ingin dengar…teruskan.

AWANG PENGASUH: Ku… Begini Cek Wang. Sudah dua hari ini negeri kita kedatangan tamu Mak yong dari penjuru negeri Cek Wang. Mulai dari Mak yong dari negeri Mantang, Bintan, Keke, Batam, dan Negeri Kelantan yang amat jauh itu Cek Wang.

CEK WANG: Inikah pengkabaranmu ya Awang?

AWANG PENGASUH: Ku… Perihal inilah yang membawa awang bertemu Cek Wang. Kalau tak mustahak sangat tak ingin Awang merejuk keluar Cek Wang. Bagus lagi Awang membuta.

Mendengar pengkabaran dari Awang Pengasuh selaku orang kepercayaan kerajaan yang di kepalai oleh Cek Wang, tiba-tiba langit mendung bak menyelimuti wajah Cek Wang . Suasana berubah tegang. Cek Wang tampak menyimpan sesuatu yang teramat rahasia. Seolah benarlah jawaban senyumnya saat pertama kali menyambut kedatangan Awang dan Wak. Ternyata kabar Festival Mak yong sudah lebih dulu sampai ketelinga Cek Wang.

CEK WANG: Baiklah pada waktu ketika ini saya hendak berkabar bilang padamu ya Awang. Padamu juga ya Wak. Saya mengira segala apa pengkabaran di negeri kita Tanjungpinang beberapa hari ini, hanyalah angin lalu yang tak penting ya Awang. Biarlah orang yang memiliki jabatan itu tak sudi mengundang Makyong Muda Tuan Habieb kita ini Awang. Hidung tak mancung, tiadakan pipi tersurung-surung. Tapi… Pandai main di negeri kita, namun lupa mengetuk pintu ya Awang. Paling tidak, tuan-tuan yang berjabatan di Balai amat berhormat itu sudilah berpelawa kepada kita ya Awang. Ini sedikit pun tidak. Konon paham akan nilai tradisi. Tau kata-kata “Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung”. Tapi, lupa diri agaknya Awang. Anak di depan mata dibiar-biarkan. Sedangkan anak yang jauh di mata di agung-agungkan. Entahlah Wang!

AWANG PENGASUH: Cek Wang… Tega benar mereka yang berjabatan itu pada negeri kita ini Cek Wang. Mesti orang-orang Mak Yong dari penjuru negeri akan bertanya Cek Wang. Kenapa negeri Tanjungpinang ini tiada Mak yong? Padahal kurang apalagi geliat kita menjaga seni tradisi ini Cek Wang. Tujuh tahun geliat kita menjaga dan merawat keaslian kesenian tradisi Mak Yong ini. Awang rasa tiada kurangnya segala bentuk tradisi Mak Yong yang Cek Wang bina ini.Pun katanya Cek Wang, sependengaran Awang acara ini satu permintaan dari Mat Saleh negeri seberang. Konon dialah empunya hajat segala kejadian Festival Mak yong ini Cek Wang.

CEK WANG: Awang ya Awang. Awang oiii. Ooo Awang. Tiadakah Awang melihat wajah saya bergembira ya Awang. Marilah Awang kita bersenang angin bersenang ombak sama bernyanyi ya Awang. Marilah Awang.

AWANG PENGASUH: Sedikit tak ingin Cek Wang. Kalau pikir geramnya Awang, Awang nak tuju segala orang-orang yang berjabatan tinggi itu.

CEK WANG: Oyalahmu Awang… Tiada baik memutuskan segala hal dengan kepala panas ya Awang. Nanti orang tertawa melihat kita. Dikatanya kita mengemis pula ya Awang.

AWANG PENGASUH: Tapi Cek Wang?

CEK WANG: Kemari Awang, kemari. Saya ingin berpesan padamu berdua ya Awang. Pertama; Acara ini sungguh hebat Awang. Terlepas persiapan yang sedikit tiada matang itu, mereka sudah ingin melestarikan Mak Yong ya Awang. Kedua ya Awang; Seni tradisi Mak Yong ini mesti terus melahirkan regenerasi ya Awang. Biarlah yang muda-muda dilibatkan ya Awang. Tentu senang dihati mereka dan tentu cinta kepada mereka akan Seni Tradisi ini ya Awang. Banyak nilai edukasi dalam kesenian Mak Yong ini ya Awang. Mungkin mereka tiada tahu hal sebenar. Yang terakhir ya Awang. Ini yang paling penting. Saya selaku Cek Wang dan Awang Pengasuh yang Tua menitah perintahkan padamu ya Awang. Segera sampaikan jemputan kepada seluruh keluarga besar kita Mak Yong Muda Ledang Balai Tuan Habieb yang berjumlah lebih kurang lima puluh orang itu , untuk memakai baju sama putih dan berkumpul di Tanah lapang hotel bali ya Awang. Malam ini kita bantu meriahkan acara mereka. Biar mereka lupa mengetuk pintu ya Awang, tapi tetamu dari penjuru negeri Mak Yong mesti gembira kita sambut. Mesti suka kita lihat. Segera kabarkan ya Awang!

Mendengar titah perintah Cek Wang yang amat dermawan itu, Awang dan Wak menyusun sembah. Meminta ijin berundur diri dari hadapan.

Tiadakan belati dipadu besi
Asal ciptanya di kota Malaya
Tiadakan mati kesenian tradisi
Mak Yong Muda terus berkarya

Hak Cipta Terpelihara. Silakan Bagikan melalui tautan artikel

Scroll to Top