OLEH: Yoan S Nugraha
Bismi Hu Ilallah, tersebutlah suatu alkisah yang sudahpun ianya bersebati adanya dengan selaksa penghuni negeri. Wabilkhusus ianya tersangat masyhur pada tubuh badan orang-orang Bintan Buyu dulu-dulu. Adalah hikayat di sepanjang hulu riau sungai carang adanya dengan ketersiratan ceritera muasal nama.
Disampaikan oleh Selamah (78) seorang udzur di ceruk bintan kepada hamba dalam sembang silaturahim, nyang Amah panggil sebut namanya ia berkenan, memulai ceritera susun galur muasal nama sungai carang. Maka, berkisahlah nyang Amah itu kepada hamba adanya, serupa dengan apa yang hamba maktubkan dalam kalam ini.
Ecek kononnya, dahulu itu tiadalah ada nama sungai carang di hulu riau, muara laut hanya tersanggat di bibir pantai pulau bayan, selepas itu hanya rimbun lebat hutan yang menyeruak. Konon, adalah datang seorang cina hendak menumpang nginap di hadapan tanjung pulau bayan. Seorang china itu dipanggil baba Siau Liang sebagai thabib andal yang melarikan diri ke negeri riau dengan menumpang kapal dagang candu. Baba Siau menerpaksakan diri asbab tiada sanggup mengobati dara jelita benih zuriat kaisar Ming dengan penyakit ruam sekujur badan.
Ketiada sanggupan Baba Siau itu dibuahi amaran murka kaisar dengan hendak memancung kepala Baba Siau selaku Thabib istana yang dianggap tiada berguna, asbab takutkan mati itulah yang memujuk Baba Siau merisik ke kapal dagang candu. Konon pula ceritera ada yang memaktubkan, bahawa Baba Siau sengaja ke riau asbab hendak mendalami ilmu perobatan dengan Thabib istana diraja negeri riau yang masyhur namanya.
Konon jua sampailah Baba Siau itu dan menumpanglah di kampung cina tanjung senggarang. Bertahun sudah hidup dan bersebati dengan puak melayu tempatan, hingga pada suatu masa, ada seorang jelata yang hodoh rupa tubuh badannya, datang mencari seorang cina bernama Siau Liang. Terjerendaklah pula Baba Siau ketika namanya jadi sebutan. Maka adalah jua seorang jelata yang hodoh itu telahpun berjumpa dan menerangkan semula jadi siapa dirinya.
Mengakulah dirinya segagai seorang anak kaisar Ming yang dahulu empunyai paras jelita namun sekarang rupa tubuh dan mukanya serupa dengan jembalang hutan atawa hantu beburu. Yakni dengan kudis yang menokak pekung, serenta dengan kelupas kulit ari yang mengering di semerata muka. Jelata itu bernama Sai Lie Ming yang mengaku mendapati penyakitnya asbab menolak cinta perjodohan ayahandanya dengan pemuda kaya di Tiongkok. Maka di sihirnya tubuh rupa jelita itu menjadi ruam dan hodoh.
Barulah tersadar adanya Baba Siau kenapa selama ini ilmu perobatannya tiada makbul di badan Lie Ming. Konon, perobatan pun dilanjutkan semula dengan thabib kerajaan dan tiadalah mendapati perubahan asbab thabib kerajaan tiada mampu menangkal sihir tiongkok. Berpindahlah Lie Ming bersama Baba Siau ke ceruk hutan, yang konon didalamnya ada seorang bomoh andal dalam ilmu jampi dan telek tenung.
Hamba dikabarkan oleh Nyang Amah lagi adanya, tentang perjumpaan dua orang cina dengan bomoh ceruk hutan itu adanya. Perobatanpun dimulai, sang bomoh menyuruh Baba Siau mencari daun mencarang, yakni serupa daun jelatang yang gatal itu hanya sahaja daun mencarang tiadalah gatal adanya serta jika ditumbuk lumat, daun mencarang mengeluarkan getah yang berlendir. Syahdan, dapatlah pula adanya daun mencarang itu hanya beberapa lembar, asbab sememang susah dan tersangat jauh pula untuk mendapatkannya. Setelah adanya daun mencarang itu dijampi bomoh, dilumat, kemudian di balur pada muka sang jelata Lie Ming, esoknya menampakkan perubahan. Muka yang hodoh itu mulai membaik dan semula jadi. Semangatlah pula adanya sang puteri kaisar itu dan semangat jualah Baba Siau mencari daun mencarang.
Saban hari semakin pulih adanya sebagian muka hodoh jelata itu, saban hari jua baba siau memutar akal bagaimana supaya tiada letih merayau mencari daun mencarang di lubuk hutan. Konon dibibitnya benih mencarang di tempat yang dekat dijangkau.
Syahdan kesempurnaan sembuhnya Lie Ming semakin masygul adanya, namun mulai berlaku tak suai dan tiada senonoh. Lie Ming mulai menggatal dengan mengurat laki orang, tiada peduli bangsa dan warna kulit, dari sebangsa cina di tanjung senggarang, hingga orang tamil yang legam pun di miangkan Lie Ming. Itulah adanya tabiat seorang jelita kaisar Ming yang miang gatal atawa kejanet, atawa jua suka merusak rumah tangga orang.
Malulah adanga Baba siau yang baik perangai ini dengan tingkah polah Lie Ming. Syahdan, khabar inipun adanya sampai kepada telinga bomoh ceruk hutan itu, dan murkalah adanya, asbab belum jua sempurna sembuh penyakitnya tapi mulai buruk perangai. Dengan ilmu sang bomoh mulai menelek dalam belanga tanah, hendak menyoal kaji asbab sebenar dari penyakit puteri kaisar. Alahkah terperanjat adanya tatkala sang bomoh mengetahui bahawa asbab penyakitnya bukanlah kerana kutukan sihir akibat menolak kasih pemuda kaya, melainkan merusak hubungan sepasang kekasih yang mabuk kasmaran di negerinya. Sang laki-laki digoda oleh Lie ming hanya untuk kepuasan birahi semata, selepas itu dibunuh adanya dengan memberikan perintah kepada pasukan kerajaan. Begitulah berulang kali tabiat itu dibuatnya hingga banyak gadis yang menaruh dendam padanya dengan mengadu soal kepada tukang sihir di hilir negeri cina.
Murkalah bomoh ceruk hutan itu asbab merasa diberdaya oleh Lie Ming, kemudian dipanggilnya gadis yang mulai jelita itu serenta dengan baba Siau untuk menagih kejujuran. Sayangnya murka bomoh semakin menjadi kerana sang gadis tiada mengakui kebenaran, semati-mati ianya berdalih bahawa penyakitnya dimusababkan menolak perjodohan ayahandanya yang kaisar itu.
Malamnya, sang bomoh mulai siasat akal hendak mengukur kebenaran, dengan menjampi ulang daun mencarang yang disemai baba Siau;
“hong…beranak hong/polong kesumba polong/carang mencarang/ cancang sepijak-pijak/.
Aku menyeru dayang kesumbi/bunian hutan pauh jenggi/hong…jadi polong/kesumba serap mencarang/cancang sepijak-pijak/mewujud dari kehendak..puah/.”
Begituah bunyi ulang jampi pembalik penawar menjadi racun yang keluar dari mulut bomoh, disebut ulang kepada hamba oleh Nyang Amah. Dipercayai inilah jampi andal pegangan orang bintan yang bisa merubah obat menjadi racun, meski setakat buah atawa secebis penganan sahaja.
Fi akhirul qalam, pada esok paginya, Lie Ming seperti biasa, selepas mandi dia ke tubir hutan, meramu tubuh badannya dengan daun mencarang. Anehnya sisa hodoh penyakit di badannya bukanlah bertambah hilang tapi makin menjadi-jadi adanya. Semakin di ganyah daun mencarang itu, semakin mengudis tokak pekung adanya. Dalam masa singkat, Lie Ming menjadi lebih hodoh serenta buruk mukanya dari sebelumnya. Maka mengislah dianya menjadi-jadi sampai tanah yang kering dibtubir hutan itu belopak basah. Tergerunlah hati Baba Siau melihatnya, bermohon-mohonlah kepada bomoh ceruk hutan untuk membagi belas kasih barang sedikit adanya kepada puteri kaisar Ming.
Dikabarkan masih kepada hamba, bomoh ceruk hutan tak sudi menjilat ludahnya lagi, apa yang sudah terjadi semata kerana tiada kejujuran dari Lie Ming. Penyakit itu membuat tubuh Lie Ming bersisik lebat, dan perlahan menjadi ular tedung yang legam.
Meski sudah menjelma ular, Lie Ming tiada berhenti menggugui nangis tersedu-sedan. Tanah yang belopak itu semakin menakung airmatanya. Maka iba jualah adanya hati sang bomoh itu dan akhirnya berkenan membagi satu matlamat kepada Lie ming untuk kesembuhannya.
Lie Ming yang ular itu disuruhnya pulang ke asal negerinya untuk meminta pengampunan kepada seluruh gadis yang disakiti hatinya itu, serenta meminta pengampunan serupa kepada ayahandanya. Jika matlamat itu tunai maka sembuhlah sedia kala adanya.
Syahdan, pulanglah dia balik ke cina, dengan meliuk-liuk tubuh badannya di tanah yang belopak menakung airmata. Jejaknya menyeruak hingga sekarang yang sudah menjadi sungai carang. Konon diambil dari nama pohon mencarang yang setadinya menjadi penawar justeru berubah menjadi racun yang diasbabkan oleh kerenah puteri kaisar tiongkok yang tiada berkenan jujur.
Nyang Amah menambahkan kepada hamba, bahawa konon sang puteri sudah mendapatkan iba hati dan pengampunan dari gadis yang memendan benci kepadanya, namun tiada bisa mendapat pengampunan dari ayahnya dikarenakan sudah terlebih dahulu mangkat sebelum kepulangannya. Hingga sekarang Lie Ming yang tedung itu sudah abadi menjadi naga yang menjaga laut cina dan pauh jenggi.-wallahualam. ***